SEREMBAN: Seorang lelaki maut dilanggar ketika sedang menunggu bantuan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 258.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki maut dilanggar ketika menunggu bantuan selepas terlibat kemalangan di Kilometer 258.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan. Kejadian berlaku pada jam 5.45 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Cyberjaya ke Batu Pahat.
  • Kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa terbabas dan melanggar besi penghadang jalan. Mangsa kemudian dilanggar oleh sebuah Proton Persona yang terbabas dari lorong kanan ke lorong kiri.
  • Mangsa mengalami cedera parah dan disahkan maut di lokasi kejadian. Pemandu Proton Persona tidak cedera. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis.


Kejadian jam 5.45 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Cyberjaya menghala ke Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, sebelum itu kereta Perodua Myvi dipandu mangsa telah terbabas dan melanggar besi penghadang bahu kiri jalan.

"Mangsa kemudian turun dan berhenti di sebelah kiri jalan untuk menunggu bantuan.

"Namun selang beberapa minit, sebuah kereta Proton Persona yang berada di lorong kanan telah terbabas dan berpusing masuk ke lorong kiri lalu melanggar mangsa dan keretanya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah di perut dan kaki serta disahkan maut di lokasi kejadian.

Ujarnya, pemandu Proton Persona lelaki berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,"katanya.

Beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati semasa memandu terutama pada waktu gelap dan cuaca yang tidak baik bagi mengelakkan sebarang kecelakaan. -Sinar Harian