Kerja-kerja membaik pulih dan memulihara Masjid Al-Qadim yang terletak di Jalan Kampung Nyabor di Sibu dijangka siap dalam tempoh dua tahun, kata Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam merangkap Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Bioteknologi, Dr Annuar Rapaee.

Dr Annuar Rapaee berkata kerja-kerja membaik pulih masjid berusia lebih 180 tahun itu yang membabitkan kos RM2.5 juta, bermula Mei lalu dilakukan kontraktor tempatan dan terbahagi kepada dua fasa.

Menurutnya, fasa pertama akan melibatkan kerja-kerja baik pulih dan pemuliharaan bumbung dan struktur luaran manakala lain-lain bahagian dalam fasa kedua akan dimulakan sebaik sahaja fasa pertama siap.

"Memandangkan kerja-kerja membaik pulih dan memulihara Masjid Qadim agak rumit ia akan memakan masa untuk siap.

"Kami akan kekalkan sebanyak mungkin struktur dan reka bentuk asal sebab masjid ini telah diwartakan sebagai bangunan warisan di Sarawak sejak lima tahun lalu selain tertua di Sibu," katanya ketika ditemui pemberita semasa rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di sini pada Rabu.

Semua struktur diperbuat daripada kayu belian akan dikekalkan dan mana-mana struktur yang telah dirobohkan sebelum ini akan dibina semula untuk mengembalikan semula reka bentuk asalnya.

Dr Annuar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka berkata pemilihan kontraktor dilakukan dengan teliti atas nasihat Jabatan Muzium Sarawak, Jabatan Kerja Raya dan konsultan utama projek iaitu University College of Technology Sarawak (UCTS).

"Malah pihak kontraktor diminta menjalani kursus khas di Terengganu sebab kami mahu memulihara bangunan warisan Sarawak ini. Kami akan pantau kerja-kerja mereka," jelasnya.

Masjid Al-Qadim akan dikekalkan peranannya sebagai tempat beribadah dan bukan dijadikan galeri walaupun ia merupakan antara bangunan bersejarah yang menjadi tarikan pelancongan di Sibu.

-- BERNAMA