KUALA LUMPUR: Sejumlah 6,000 petugas barisan hadapan di bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit bakal menerima suntikan vaksin. 

Daripada jumlah tersebut, 3,576 berada di Sibu, manakala selebihnya di Sarikei, Mukah dan Kapit.

Menurut Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee, program imunisasi vaksin COVID-19 di bahagian itu bakal bermula esok, 26 Februari 2021 di Klinik Kesihatan Lanang, Klinik Kesihatan Sibujaya dan Hospital Sibu.

BACA: Abang Johari, bakal jadi individu pertama terima vaksin di Sarawak

"Vaksin yang tiba pada hari ini merangkumi dua dos, yang mana setelah suntikan pertama, suntikan kedua akan dijalankan 21 hari kemudian," katanya ketika menyambut ketibaan vaksin di Jalan Awang Ramli hari ini.

Dr Annuar yang merangkap Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak berkata suntikan bagi vaksin itu ketika ini dikhususkan buat kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diikuti petugas barisan hadapan yang lain.

Dr Annuar turut mendedahkan perancangan untuk menukar Stadium Tertutup Sibu sebagai pusat vaksinasi khas untuk fasa kedua dan ketiga. 

Antara yang turut hadir dalam menyambut ketibaan bekala n vaksin tersebut,, Residen Sibu, Charles Siaw, Pegawai Kesihatan Daerah Sibu, Dr Teh Jo Hun dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting.


Sejumlah 13,000 dos vaksin COVID-19 fasa pertama tiba di Sibu pada pada Khamis. Kesemua vaksin itu tiba di pusat penyimpanan di Pejabat Farmasi Bahagian Sibu di Jalan Awang Ramli pada pukul 2.36 petang, Khamis.