Ahli Parlimen Santubong Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan masalah perpindahan penduduk Kampung Sibu Laut akan selesai tahun hadapan.

Perbincangan semula dengan Pejabat Tanah dan Ukur akan digerakkan bagi menyediakan tapak lot tambahan serta bantuan tambahan akan disalurkan.

Keengganan segelintir penghuni kampung untuk berpindah menyebabkan tanah lot yang disediakan untuk mereka terpaksa diberikan kepada pemohon yang mahu mendiami lot tersebut.

Lot tanah yang dibangunkan 20 tahun lalu itu kini dikenali sebagai Telaga Air lebih tersusun dan lengkap dengan kemudahan asas.

Wan Junaidi berkata: “Jadi dalam keadaan sedemikian saya buat keputusan supaya berbincang semula dengan pihak jabatan tanah dan ukur supaya menyediakan tapak lot tambahan di sekitar Kampung Telaga yang ada sekarang ini dan meminta pihak nelayan daripada Sibu Laut berpindah keseluruhannya.

“Saya berharap pada tahun 2013 jika lot ini boleh disediakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur, saya akan berbincang dengan pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah untuk menyediakan sumber kewangan bagi memberi perubahan melalui dua sistem yang sedia ada,” tambah beliau.

Jaminan beliau sebagai menjawab rintihan penghuni 13 buah rumah di Kampung Sibu Laut, iaitu sebuah kampung di kepulauan kecil Pulau Salak.

Tinjauan Astro Awani di Kampung Sibu Laut sebelum ini mendapati kampung itu hanya bergantung kepada air tadahan hujan dan telaga.

Kemudahan elektrik pula dijana melalui bantuan generator lima jam sehari sahaja.