Lundu, Sarawak mempunyai daya tarikan semula jadi dan wajar dijadikan pusat eko-pelancongan negara.

Selain kaya dengan hasil penanaman koko, lada hitam serta padi, Lundu yang terletak di pesisir Laut China Selatan ini juga mewah dengan hasil tangkapan laut.

Kesempatan wajar diambil selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2014 untuk mempromosikan kawasan yang terletak di barat daya Kuching ini di mata dunia.


Pegawai Daerah Lundu, Azmi Bujang memberitahu, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri dalam usaha mengangkat Lundu sebagai pusat pelancongan.
“Lundu daerah yang indah, punya daya tarikan seperti gunung, laut dan air terjun. Kita punya rancangan untuk menarik pelancong ke sini kerana tarikan di sini semuanya semulajadi”


Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan bahawa pihak Kementerian Pelancongan juga telah dimaklumkan mengenai usaha berkenaan.

“Selepas PRU nanti kita akan menilai kos sebenar untuk penceriaan seperti menambah kawasan pejalan kaki dan sebagainya di kawasan air terjun nanti”

Buat masa ini projek penebatan banjir di pekan Lundu dan Semantan sedang giat dijalankan dalam usaha mengangkat daerah terbabit sebagai salah satu destinasi pelancongan negara.


Lundu mempunyai keluasan kawasan 1,962.2 kilometer persegi.

Selain daripada sektor pertanian dan nelayan, aktiviti pembalakan, pengilangan papan, pemeliharaan ulat sutera, ikan air tawar serta pengambilan pasir silika juga dijalankan sebagai salah satu daripada sumber ekonomi penduduk Lundu.