Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari itu, bot berkenaan dikesan ketika nelayan terbabit sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh sepasukan bot ronda Maritim Malaysia melakukan rondaan di sekitar perairan negeri Perak.
Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Myanmar berusia 50 tahun, bersama seorang kru yang juga warga Myanmar berumur 42 tahun.
"Pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit tidak diusahakan sendiri dan menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Selain itu, kru bot tersebut juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana tidak diusahakan sendiri dan menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Shukri, kesemua nelayan bersama bot, hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan ditahan supaya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Justeru, beliau berkata Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah diwartakan kerajaan dan agensi itu tidak akan berkompromi mengenakan tindakan terhadap pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.
-- BERNAMA