LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis mematahkan cubaan seludup sembilan kilogram ketulan ganja mampat bernilai RM45,000 malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah / Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Romli Mustafa berkata, rampasan itu dibuat berikutan pengesanan curiga oleh Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi yang mengesan pergerakan sebuah bot fiber masuk ke perairan negara dari sempadan Thailand dalam keadaan gelap pada kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Pulau Dangli jam 10.25 malam.

“Maritim mengerakkan bot peronda yang sedang  melakukan OP AMAN ke lokasi dan berjaya memintas bot fiber itu.

“Sebaik menyedari kehadiran bot peronda Maritim di lokasi, suspek bertindak membuang satu bungkusan guni ke laut dan menukar haluan untuk berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bungkusan guni mengandungi ketulan ganja mampat yang diletakkan dalam plastik berwarna emas dibuang ke laut oleh suspek.

Romli berkata, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan guni yang dibuang itu mengandungi sembilan ketulan ganja mampat yang diletakkan dalam plastik berwarna emas dengan berat sembilan kilogram.

Katanya, hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Kes disiasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang Persekutuan.