Pelancarannya disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr Asfaliza Ramli.
Buku berkenaan dibahagikan kepada beberapa bahagian yang memaparkan SOP bagi menjalankan kerja-kerja mengendalikan makanan tidak terjual di bazar Ramadan antaranya aliran kerja sukarelawan di tapak projek, skop tugasan sukarelawan berdasarkan aliran kerja, skop tugasan ketua bazar, SOP bagi setiap proses, dan cara penggunaan aplikasi projek.
"Pengalaman selama lapan tahun mengendalikan MYSaveFood Ramadan telah menjadikan buku panduan berkenaan sebagai satu hub informasi yang lengkap untuk penganjur, ketua bazar dan juga sukarelawan," kata MARDI dalam satu kenyataan pada Ahad.
Selain itu, Projek MYSaveFood Ramadan juga merupakan satu inisiatif pengurusan sisa makanan 'food waste management' di bazar Ramadan secara berstrategi melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar.
Makanan yang diselamatkan adalah yang masih elok dan sesuai untuk dimakan atau diminum.
"Justeru, objektif program ini adalah bagi membudayakan satu sistem pengurusan sisa makanan yang efektif di bazar Ramadan yang mudah direplikasi dalam usaha mengurangkan pembaziran sisa makanan yang berlaku dalam kalangan peniaga bazar Ramadan.
"Selain itu, usaha ini juga membantu dalam mengurangkan penghasilan gas metana yang memberi kesan kepada pemanasan global," tambah kenyataan.
Bagi tahun ini, perancangan bagi program itu adalah lebih sistematik dan jumlah penyertaan bazar dijangka akan meningkat memandangkan sambutan yang diterima oleh sukarelawan dan peniaga bazar adalah sangat menggalakkan.
Justeru, pihak MYSaveFood bersama penganjur dan rakan strategik lain akan bersama-sama menggerakkan operasi program ini serta terlibat dalam pemberian sumbangan terutamanya dari sudut kewangan, kumpulan media, sukarelawan, dan percetakan bahan program agar program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Untuk rekod, Program MYSaveFood dilancarkan pada tahun 2016 oleh Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sempena perasmian Persidangan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) Rantau Asia Pasifik.
Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif SAVEFOOD oleh FAO bagi menangani masalah kehilangan dan pembaziran makanan di seluruh dunia sehingga menjejaskan bekalan makanan, alam sekitar dan sumber ekonomi negara.
Cetusan idea projek MYSaveFood Ramadan bermula di Kampung Baru pada tahun 2016 melalui inisiatif belia tempatan, Mohamad Rahimi Adnan dengan disokong dan dibantu oleh Pemuda GEMA.
Projek ini telah dijadikan salah satu inisiatif utama di bawah program MYSaveFood oleh MARDI. Inisiatif projek ini telah berkembang dari tahun 2016 sehingga kini di bawah kelolaan Pemuda GEMA.