Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi berhubung isu integriti terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah dalam isu pembelian hartanah MARA di Australia.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa turut menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang didapati bersalah.

"MARA juga tidak akan berkompromi dalam isu integriti yang mana individu atau pihak yang terbukti bersalah dalam isu ini akan diambil tindakan sewajarnya," Annuar berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau pada masa sama, turut meminta Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli untuk mengemukakan bukti bagi membantu pihak berkuasa membuat siasatan.

"Isu berkenaan pembelian hartanah MARA di Australia masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga pihak audit.

"Sehubungan itu, pihak MARA menghargai sekiranya YB Rafizi Ramli dan lain pihak agar dapat bekerjasama dengan menyerahkan bukti atau dokumen seperti mana yang didakwa menerusi kenyataan beliau berkaitan isu ini agar dapat membantu pihak berkuasa dalam proses siasatan," katanya.

Annuar mengulas kenyataan media Rafizi semalam yang mendakwa pegawai tinggi MARA yang dinamakan di Australia masih belum diambil tindakan sejak skandal MARA didedahkan.

Justeru, Annuar memohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang dan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan secara profesional.