BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 19,308.50 kilogram (kg) isi ikan sejuk beku, Frozen Amberjack Fish Meat dari China bernilai RM56,570.55 di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini semalam.

Pengarahnya Noriah Dahlan berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena membawa ikan sejuk beku itu pada 5.45 petang dan mendapati komoditi yang dibawa masuk adalah berbeza dengan komoditi yang diisytihar pada Permit Import sah yang dikeluarkan daripada MAQIS.

"Ekoran itu, kami merampas semua 1,679 kotak ikan sejuk beku tersebut untuk siasatan lanjut kerana kemasukkan komoditi yang berbeza dan mengelirukan pada Permit Import MAQIS adalah salah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata pihaknya sentiasa komited melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang dibawa masuk mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan selamat untuk dimakan.

-- BERNAMA