Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan tiada syarikat insurans memanipulasi caj bayaran di hospital swasta.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ia menyalahi etika sekali gus usaha mendapatkan keuntungan yang menyalahi undang-undang.

Jelasnya, kerjasama dan siasatan bersama BNM akan menjurus kepada profesionalisme syarikat insurans dalam urusan mereka bersama hospital.

"Pihak insurans tidak boleh berkongsi apa-apa bayaran yang sepatutnya dibayar oleh hospital daripada insurans dalam sudut rawatan.

"Ini melanggar etika dan saya telah minta Ketua Setiausaha Kementerian untuk buat siasatan dan dengan kerjasama BNM untuk lihat apa-apa tindakan," katanya semasa sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Jelasnya, jika tidak dibendung, ia mengakibatkan peningkatan kos perubatan sebanyak 10 sehingga 20 peratus yang tidak sepatutnya terjadi.

"Apa yang berlaku, kita diberitahu, selain bayaran premium, mereka mengenakan pelbagai jenis bayaran lain. Contohnya bil dikenakan satu jumlah, mereka minta minta satu peratusan daripada jumlah bil itu diberi kepada mereka sebagai satu bil pentadbiran.

"Ini satu perkara yang melanggar prinsip yang ada di dalam Kementerian Kesihatan," kata Subramaniam.