Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 7.45 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
“Jarak penemuan mayat kedua ini adalah kira-kira 50 meter dari mayat anaknya, Muhammad Rosman Rohadi, yang ditemui semalam, dan 200 meter dari lokasi dua beranak itu dihanyutkan arus deras.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk tindakan lanjut.
"Operasi pagi tadi iaitu hari kedua SAR, bermula jam 7.30 pagi dan Alhamdulillah, mayat Salmah ditemui kira-kira 15 minit kemudian.
"Walaupun operasi semalam ditangguhkan jam 7 petang namun kami semua pasukan penyelamat dan polis tetap menjalankan pemantauan dalam usaha mengesan mangsa," katanya.
Mulkiaman turut menasihatkan penduduk di daerah ini supaya tidak mengharungi banjir jika kawasan kediaman mereka dinaiki air.
"Kita tidak tahu apa yang ada di bawah air dan kita tidak mahu peristiwa seperti ini berulang," tambahnya.
Katanya, operasi SAR hari ini membabitkan seramai 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dan Jitra.
Turut terlibat, 25 pegawai dan anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Padang Terap dan penduduk kampung, katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan, dua beranak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, di sini.
Kedua-dua mangsa dipercayai cuba berpaut pada pokok sebelum dihanyutkan air deras.
Bagaimanapun, jasad Muhammad Rosman, 19 tahun, yang juga orang kurang upaya pembelajaran ditemui oleh PPDA tersangkut pada pelepah sawit di dasar kawasan banjir itu pada jam 5.35 petang semalam.