KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat dengan 1,541 individu daripada 468 keluarga setakat 6 pagi ini berbanding 1,313 orang daripada 375 keluarga, malam tadi.

Menurut laporan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 31 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka termasuk tujuh di Besut, empat di Dungun, dua di Kemaman dan masing-masing sembilan di Hulu Terengganu dan Setiu bagi menempatkan kesemua mangsa terjejas.

NADMA dalam laporan sama memaklumkan terdapat dua PPS baharu diaktifkan di Kuantan, Pahang melibatkan 164 mangsa daripada 72 keluarga manakala jumlah mangsa banjir di Pasir Puteh, Kelantan kekal dengan 354 orang daripada 122 keluarga.

Menurut NADMA, tinjauan situasi Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di enam negeri berada pada paras bahaya iaitu Sungai Muda di Sik dan Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Arau (Perlis); Sungai Besut, Sungai Terengganu (Hulu Terengganu dan Setiu) di Terengganu; Sungai Rompin dan Sungai Pahang Cameron Highlands (Pahang); Sungai Sarang Buaya (Johor) serta Sungai Kinabatangan (Sabah).

Sebanyak 17 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Jamaluang di Batu Pahat, Johor, Jalan Boh di Cameron Highlands, Pahang dan Jalan Sungai Cok-Chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan. - BERNAMA