Lebih 5,000 mangsa banjir dipindahkan sehingga 12.30 tengah hari Terengganu, Kelantan, Perak dan Selangor.

Terengganu dan Kelantan merupakan antara negari yang paling teruk terjejas.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara, jumlah mangsa banjir di Terengganu adalah 3,688 orang manakala di Kelantan jumlah mangsa mencatat 1,422 orang.

Portal itu juga mencatatkan 91 orang mangsa di Perak dan 190 orang mangsa di Selangor.

Di Perak, sebanyak 297 orang mangsa ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di sekitar Manjung, Perak Tengah dan Larut Matang.

Sementara di Selangor, 15 orang dipindahkan ke dua pusat pemindahan di sekitar Dengkil.

Sehingga kini, satu jalan ditutup di Kelantan, manakala di Selangor, dua jalan telah ditutup.

Jalan terbabit adalah Jalan Rantau Panjang - Panglima bayu, Jalan Sungai Lalang - dari Semenyih ke Hulu Langat serta Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat.

Sementara itu, sembilan sekolah di Rantau Panjang akan ditutup hari ini akibat banjir yang semakin buruk melanda beberapa jajahan di Kelantan.

Atas faktor keselamatan juga, 17 sekolah membenarkan pelajar pulang awal, semalam.

Pelajar sekolah berkenaan dibenarkan pulang seawal jam 10 pagi.

Menurut pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussain Awang, antara sekolah yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang, Sekolah Menengah Agama Kerajaan Diniah Bongor, Sekolah Kebangsaan Rahmat dan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang.

Jelasnya sekolah tersebut melibatkan kawasan pentadbiran empat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) iaitu Kuala Krai, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Dua sekolah di kawasan PPD Pasir Puteh dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan Kamil dan Sekolah Kebangsaan Changai.