Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 6,985 orang berbanding 7,536 orang pagi tadi.
Kesemua mangsa di negeri itu ditempatkan di 47 PPS di tujuh daerah iaitu Kota Tinggi di 24 PPS dengan 4,221 orang, Johor Bahru (tujuh PPS, 1,303 orang), Kluang (lapan PPS, 1,163 orang), Segamat (empat PPS, 103 orang) Batu Pahat (dua PPS, 83 orang) manakala Kulai dan Pontian masing-masing satu PPS dengan 90 dan 22 orang.
Di Pahang, jumlah mangsa menurun kepada 1,195 orang berbanding 1,610 orang pagi tadi dan berlindung di 17 PPS di tiga daerah, masing-masing 11 PPS di Pekan, lima di Rompin serta satu di Maran.
Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati, beberapa sungai di Johor masih mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Endau di Kluang.
Demikian juga di Sungai Pahang di Maran, Pekan dan Bera serta Sungai Rompin di Rompin, Pahang; Sungai Perak di Hulu Perak, Perak; Sungai Arau bagi kawasan Arau, Perlis; dan Sungai Klang serta Sungai Langat, Kuala Langat, Selangor turut mencatatkan paras bahaya.
Laporan itu turut memaklumkan terdapat 52 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, antaranya Jalan Johor Bahru-Endau dan Jalan Desaru-Pengerang di Kota Tinggi, Johor; Jalan Temerloh-Jerantut dan Jalan Serengkam di Maran Pahang.
Dalam pada itu mengenai bencana kebakaran, satu PPS di Kuching, Sarawak masih dibuka yang menempatkan 38 orang daripada 12 keluarga.
-- BERNAMA