IPOH: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Chikus Langkap, di Hilir Perak meningkat kepada 40 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 24 orang, petang semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak menerusi kenyataan berkata kesemua mereka yang melibatkan 12 keluarga itu terdiri daripada 12 lelaki dan 12 wanita, 13 kanak-kanak lelaki serta tiga kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata banjir pada kira-kira 3 petang semalam itu menjejaskan tiga kampung iaitu Parit 3 dan Kampung Batu Pecah, Chikus serta Kampung Belakang Kedai, Degong.

Menurut jurucakap itu, keadaan cuaca ketika ini baik dan hanya satu PPS sahaja dibuka setakat ini.

Seramai 26 anggota melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat kini sedang memantau lokasi kejadian dan PPS berkenaan, katanya.

-- BERNAMA