Kempen kesedaran mengenai pemeriksaan kanser payudara perlu terus diperluas bagi meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai perkara berkenaan.

Pakar Bedah, Payudara dan Endokrin KPJ Damansara, Dr.Naqiyah Ibrahim menekankan orang ramai perlu tahu, ujian mamogram-3D adalah untuk pemeriksaan, bukannya rawatan.

"Maknanya kalau kita datang hospital kalau pesakit ada ketulan, doktor akan periksa sejarah keluarganya, kebiasaannya pesakit yang mempunyai sejarah kanser ini berisiko tinggi, " jelasnya ketika ditemui oleh Astro AWANI, pada hari ini.

Ujar Dr.Naqiyah lagi, ujian mamogram biasanya dilakukan kepada wanita berusia 40 tahun ke atas sementara imbasan bunyi kepada mereka di bawah 40 tahun.

"Kenapa kita tak buat dua-dua? Bukan mamogram lagi baik dari ultrasound (imbasan bunyi) atau ultrasound lebih baik dari Mamogram, Mamogram ini ada benda ia boleh nampak, ultrasound tak nampak, tetapi ada juga yang ultrasound boleh nampak dan mamogram tidak nampak," katanya.

Dr.Naqiyah berkata, wanita muda tidak digalakkan untuk melakukan ujian mamogram atas beberapa faktor tertentu.

"Kenapa kita tidak buat Mamogram ke atas perempuan yang muda? Selalunya payudara perempuan muda tisunya padat, jadi bila kita buat mamogram ia nampak putih.

"Jadi kalau ada ketulan ia akan nampak putih, apabila putih atas putih atas mamogram ia tidak nampak terang. Sebab itu kita tidak galakkan orang muda buat mamogram," kata beliau.

Beliau turut menambah, selain pemeriksaan ujian mamogram, pihaknya juga menganjurkan taklimat mengenai kanser payudara secara aktif dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Pada bulan Oktober setiap tahun merupakan bulan kesedaran kanser payudara.

Antara kempen yang giat digerakkan termasuk pemeriksaan mamogram percuma buat wanita 40 tahun ke atas.

Kempen yang dijalankan di bawah Program Subsidi Ujian Mamogram itu merupakan inisiatif Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKKN).


infografik