MALAYSIA optimis akan terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan New Zealand melalui status perkongsian strategik yang sedia ada.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki berkata, sebagai hab utama bagi pelabur global terutamanya dalam sektor pembuatan, Malaysia dijangka mampu mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan bersama New Zealand dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menurut beliau, berdasarkan sejarah, hubungan Malaysia-New Zealand diperkaya dengan hubungan erat menerusi Pelan Colombo iaitu inisiatif kerjasama serantau yang diwujudkan pada tahun 1950 yang ditubuhkan bagi mempromosi pembangunan ekonomi dan sosial di negara-negara Asia.

Dalam masa sama, kata Mazita, pendidikan kekal menjadi jambatan penting dalam hubungan bilateral antara kedua-dua negara.

Ini kerana New Zealand terus menjadi destinasi pilihan bagi pelajar Malaysia, dengan seramai 642 pelajar kini menuntut di seluruh negara itu.

Beliau dalam pada itu turut menyentuh berkenaan hubungan pertahanan kedua negara yang mempunyai sejarah panjang.

“Hubungan pertahanan Malaysia-New Zealand yang bermula sejak Perang Dunia Kedua sebelum berkembang dengan pesat menerusi Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA), mencerminkan tekad kedua negara dalam memastikan kestabilan di rantau Asia Pasifik,” jelas Mazita semasa berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia di Rumah Malaysia, Wellington, baru-baru ini.

Mazita bersama pegawai, kakitangan dan keluarga pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand yang bersama-sama menganjurkan sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.

Bercakap mengenai kepengerusian Malaysia untuk ASEAN pada 2025 yang bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-New Zealand, Mazita berkata, ia merupakan peluang New Zealand memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang lain.

Selain itu, Malaysia dan New Zealand turut sehaluan dalam memerangi perubahan iklim, dengan Malaysia fokus pada teknologi hijau dan New Zealand sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui.

Perdana Menteri kedua-dua negara juga menekankan kerjasama dalam pembinaan kapasiti dan latihan dalam pengurusan bencana antara Malaysia dan New Zealand, termasuk di peringkat ASEAN.

Mengulas lanjut, kata Mazita, Malaysia juga komited bekerjasama rapat dengan New Zealand serta rakan-rakan ASEAN dan rakan kongsi lain bagi memastikan matlamat dan nilai bersama tercapai.

Katanya, kerjasama ini bukan sahaja akan memberi faedah konkrit kepada ekonomi dan rakyat, tetapi juga menyumbang kepada keamanan, keselamatan, dan kemakmuran di seluruh rantau Indo-Pasifik.

Sambutan Hari Malaysia anjuran Pesuruhjaya Tinggi Malaysia berlangsung sederhana tetapi meriah dengan kehadiran wakil kerajaan New Zealand, ahli-ahli perniagaan serta diaspora dan pelajar-pelajar Malaysia.

Tetamu disajikan dengan pelbagai hidangan Malaysia selain dipersembahkan dengan persembahan kebudayaan.