"Memandangkan kes ini adalah sesuatu yang baharu dan rumit, mahkamah harus mempertimbangkan untuk menangguhkan tarikh akhir yang ditetapkan undang-undang bagi memberikan lebih ruang bagi menangani isu-isu ini," menurut hujah pasukan guaman Trump dalam dokumen yang difailkan pada Jumaat.
"Tarikh akhir untuk pelucutan hak milik itu adalah pada 19 Jan, sehari sebelum majlis angkat sumpah Trump sebagai Presiden. Langkah itu bertujuan untuk memberi peluang kepada presiden terpilih untuk "mencari penyelesaian politik," kata pasukannya.
Trump, yang lantang mengkritik aplikasi media sosial popular itu semasa penggal pertamanya, menyuarakan kebimbangan terhadap isu keselamatan negara.
Beliau mendakwa aplikasi itu boleh digunakan oleh China untuk mengakses data pengguna AS atau memanipulasi kandungan pada platform itu -- dakwaan yang telah dinafikan secara konsisten oleh ByteDance dan Beijing.
Pentadbirannya sebelum ini mendesak penjualan aplikasi itu kepada syarikat yang berpangkalan di AS, namun usaha berkenaan tidak berjaya.
Pendirian Trump dilihat telah berubah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
"Sekarang saya sedang memikirkannya, saya menyokong TikTok, kerana anda memerlukan persaingan. Jika anda tidak mempunyai TikTok, anda mempunyai Facebook dan Instagram - dan itu, anda tahu, itu adalah Zuckerberg," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini dengan Bloomberg, merujuk kepada Mark Zuckerberg.
Kenyataan itu mencerminkan perubahan pandangan Trump, yang kini menentang kecenderungan monopoli syarikat teknologi domestik seperti Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram.
"Presiden Trump tidak mengambil sebarang pendirian terhadap merit pertikaian ini," tulis peguamnya, John Sauer.
"Sebaliknya, beliau dengan hormatnya meminta mahkamah mempertimbangkan untuk menangguhkan tarikh akhir undang-undang ini ... sekali gus membolehkan pentadbiran baharu Presiden Trump mencari penyelesaian politik."
-- BERNAMA