Perkembangan berkaitan:

• PM: Malaysia tolak gesaan gencatan senjata
• Aquino hubungi Najib minta reaksi gencatan senjata

• Ops Daulat diteruskan sehingga pengganas serah diri
• Jamalul Kiram III isytihar gencatan senjata
• Penceroboh tidak akan tinggalkan Sabah


LAHAD DATU: Kerajaan Malaysia menolak rayuan waris Kesultanan Sulu, Jamalul Kiram III supaya pasukan keselamatan negara yang menggerakkan Operasi Daulat menggencat senjata.

Tegas Perdana Menteri, kumpulan bersenjata yang menceroboh kedaulatan negara ini sejak 12 Februari lalu mesti meletakkan senjata tanpa syarat.

"Mereka mesti letak senjata tanpa syarat dan senjata itu diserahkan kepada kita (kerajaan Malaysia). Itu pendirian kita," katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau menyampaikan pendirian Malaysia itu kepada Presiden Filipina, Benigno Aquino III yang menghubungi beliau hari ini untuk mendapatkan reaksi berhubung kenyataan waris Kesultanan Sulu tengahari tadi.

Najib juga menegaskan, operasi memburu saki-baki pengganas yang bersembunyi di Kampung Tanduo dan kawasan sekitarnya akan diteruskan sehingga mereka letak senjata.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui Twitter meragui hasrat tawaran gencatan senjata pertempuran Lahad Datu yang diumumkan oleh ‘Sultan’ Sulu, Jamalul Kiram III pada jam 12.30 tengah hari tadi.




‘Sultan’ Sulu Jamalul Kiram III dipetik melalui jurucakapnya Abraham Idjirani dalam satu sidang media di Taguig City, Filipina mengumumkan bahawa satu gencatan senjata telah dilakukan oleh pihak Kesulatanan Sulu.

Gencatan senjata itu dibuat bagi mengelak lebih banyak pertumpahan darah dan mendakwa operasi oleh pasukan keselamatan negara mengorbankan orang awam.

Idjirani juga memaklumkan kesediaan keluarga waris Kesultanan Sulu itu untuk mengambil pulang ahli keluarga mereka yang kini berada di Sabah sekiranya pasukan keselamatan negara mematuhi gencatan senjata tersebut.

Menurut Idjirani, kumpulan pengikut waris Kesultanan Sulu yang diketuai oleh Azzimuddie Kiram, yang digelar sebagai Raja Muda, tidak akan melakukan apa-apa sebaliknya hanya akan bertahan.