PUTRAJAYA: Malaysia bakal meneroka kepelbagaian teknologi serta amalan baik sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam Pertandingan WorldSkills 2024 (WSC 2024) yang akan bermula pada 10 hingga 16 Sept ini di Lyon, Perancis.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata WSC 2024 dapat berperanan sebagai wadah pertandingan pada peringkat antarabangsa bagi menilai prestasi dan mengiktiraf bakat berkemahiran yang dihasilkan melalui program TVET.

Pengerusi Majlis TVET Negara itu berkata melalui WSC 2024, kontinjen negara berpeluang meneroka amalan baik sektor TVET seterusnya diguna pakai dalam pelaksanaan program TVET negara.

"Ia sejajar dengan hasrat kerajaan mengiktiraf TVET sebagai pemacu perubahan ekonomi negara dan pilihan utama kerjaya rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada WSC 2024, Malaysia diwakili 15 belia berkemahiran terdiri daripada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam serta Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara yang akan bertanding dalam 14 daripada 62 bidang kemahiran dipertandingkan.

Ahmad Zahid menzahirkan penghargaan dan sokongan terhadap 15 anak muda yang akan menggalas tanggungjawab dalam misi melakar kecemerlangan sektor TVET Malaysia menerusi WSC 2024.

Kontinjen negara akan bertanding dalam 14 bidang termasuk bidang kemahiran berteknologi tinggi seperti Robot System Integration, IT Software Solution for Business, Web Technologies, Automobile Technology, Heavy Vehicle Technology dan Digital Construction.

Beliau berkata kerajaan memberi sokongan komprehensif dalam memastikan kontinjen negara di WSC 2024 mempunyai momentum terbaik antaranya melalui penyediaan latihan intensif bersama pakar negara dan pihak industri.

"Turut dilaksanakan ialah penyertaan pertandingan persahabatan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penganjuran program-program motivasi telah dilakukan bagi mengukuhkan aspek fizikal dan mental dalam kalangan peserta," katanya.

Beliau berkata kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia sentiasa konsisten memberi sokongan penuh dan mendoakan kejayaan para wira dan wirawati negara dalam usaha melakar kecemerlangan di pentas WSC Lyon 2024 nanti.

"Semoga usaha menempa kejayaan di persada antarabangsa ini dapat direalisasikan dan seterusnya ia menjadi simbolik refleksi kecemerlangan sektor TVET negara," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa kerajaan menyediakan insentif khas wang tunai RM40,000 kepada peserta yang memenangi pingat emas pada WSC di Lyon pada bulan ini.

Insentif khas kepada peserta itu sebagai tanda sokongan, galakan dan dorongan demi memburu kejayaan yang cemerlang pada WSC 2024.

Pemenang pingat perak pula akan menerima ganjaran RM20,000 manakala pingat gangsa menerima RM10,000 dan RM4,000 bagi Medallion for Excellence.

Sebagai tambahan, peserta yang memenangi pingat emas, perak atau gangsa dalam WSC 2024 ini akan turut dianugerahkan pensijilan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam bidang masing-masing.

-- BERNAMA