PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) kepada Rusia selaku Pengerusi BRICS.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan hasrat Malaysia menyertai organisasi BRICS itu inti pati utama perbincangan Anwar dengan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov, yang melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana hari ini.

"Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi (BRICS) kepada Rusia selaku Pengerusi BRICS, selain menyatakan keterbukaan untuk menyertainya sebagai negara anggota atau rakan strategik," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Pada 18 Jun, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

BRICS yang merangkumi Brazil, Rusia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi dan sedang pesat membangun. Afrika Selatan kemudian menyertai blok itu pada 2010, sebelum disertai Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.

Terdahulu, ketibaan Lavrov dan delegasi pada pukul 10 pagi di Kompleks Seri Perdana disambut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir Zambry.

Dalam pertemuan itu hampir sejam itu, Anwar dan Lavrov juga membincangkan usaha perkukuh hubungan Malaysia-Rusia serta memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor meliputi perdagangan, pelaburan, keselamatan, pertahanan, pendidikan tinggi, sains dan teknologi, pelancongan dan kebudayaan.

Turut dibincangkan ialah situasi semasa di Palestin termasuk penegasan Malaysia mengenai keperluan mendesak untuk gencatan senjata kekal dan bantuan kemanusiaan pantas di Gaza serta Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu mengenai Ukraine, Anwar turut menyeru agar dialog dan perbincangan menjadi jalan keluar kepada konflik tersebut.

-- BERNAMA