Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersiap sedia dari setiap aspek untuk mengendalikan virus Ebola seandainya penyakit itu merebak dari benua Afrika ke negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam bagaimanapun berkata, setakat ini virus itu masih tidak menular ke Malaysia selain tiada sebarang kes seumpamanya di sini.

"National Crisis Preparedness dan Response Centre (CPRC) Kebangsaan akan terus mempertingkatkan survelan penyakit dan memantau perkembangan status kejadian Ebola di Afrika Barat serta menyelaras kesiapsiagaan dan respon KKM bagi menghadapi penularan penyakit itu.

"Anggota di semua peringkat KKM termasuk di pintu masuk antarabangsa negara terus diberikan penerangan berkaitan pengurusan kes yang disyaki dijangkiti dengan menggunakan tatacara sebagaimana yang digariskan, meliputi proses melalui saluran yang telah dikenalpasti dengan kadar segera kepada CPRC Kebangsaan dan Pejabat Kesihatan berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan situasi kejadian wabak penyakit virus Ebola yang melanda di tiga negara Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia dan Sierra Leone masih lagi tidak menunjukkan keadaan terkawal.

Sehingga 12 Oktober 2014, pihak WHO melaporkan sejumlah 8,973 kes EVD dengan 4,484 kematian di negara-negara dengan penularan jangkitan yang meluas tersebut.

Negara-negara dengan penularan jangkitan yang terkawal, iaitu Nigeria, Senegal, Amerika Syarikat dan Sepanyol melaporkan sejumlah 24 kes dengan sembilan kematian.

Kata Subramaniam, terkini adalah edaran tatacara khusus yang telah dikernaskini dan diedarkan melalui Surat Edaran Ketua Pengarah Kesihatan seterusnya diikuti sesi taklimat berkaitan diadakan pada 9 Oktober 2014 di peringkat kebangsaan.

Jelasnya, berbagai langkah pengukuhan telah dilaksanakan di berbagai peringkat fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

"Adalah amat penting semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta yang terlibat dalam pengurusan kes jangkitan Ebola memahami dengan jelas definisi kes PUI (Person Under Investigation) Ebola atau disyaki Ebola yang digunakan.

"lni adalah untuk memastikan pengamal perubatan dapat mengenalpasti kes PUI EVD, merujuk kes disyaki ke hospital yang dikenalpasti untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, garis panduan pengurusan kes Ebola di hospital juga telah ditambah baik, terutama dari aspek bagi mengurangkan risiko jangkitan ke atas anggota kesihatan yang mengendalikan kes berkenaan.

"Maklumat berkaitan penyakit Ebola dan nasihat kesihatan telah disalurkan kepada orang awam secara berterusan melalui pelbagai medium media massa.

"Kita juga telah mengenalpasti sebanyak 21 buah hospital dari seluruh negara untuk menerima rujukan kes PUI Ebola untuk tujuan pengurusan awai dan pengesahan jangkitan.

"Bagi kes yang disahkan positif jangkitan EVD melalui ujian makmal pula, akan dirawat di tiga buah hospital khas yang dikenalpasti selain 20 makmal di hospital dari seluruh negara," jelasnya.

Katanya lagi, buat masa ini, sebanyak enam sesi latihan simulasi berkaitan pengendalian kes Ebola di lapangan telah diadakan di pelbagai peringkat KKM untuk menilai dan memperkukuhkan status kesiapsiagaan serta respons bagi menghadapi potensi penularan Ebola.

"Selain dari itu, Malaysia turut terlibat dalam latihan simulasi Ebola yang dianjurkan oleh pihak WHO di peringkat Western Pacific Regional Office pada 8 Oktober lepas.

"Kita juga mempertingkatkan kerjasama rapat dengan berbagai kementerian dan agensi yang berkaitan dalam usaha mencegah penularan penyakit Ebola ke dalam negara," katanya.

Jelasnya, KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan dari pihak WHO akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Maklumat tambahan dan perkembangan semasa mengenai penyakit Ebola boleh diperolehi dengan melayari Iaman sesawang Kementerian Kesihatan di http //www.moh.gov.my dan Facebook CPRC.