Wisma Putra dalam kenyataan berkata pendirian itu disuarakan sempena lawatan Menteri Luar Poland Radosław Sikorski ke Putrajaya hari ini, dan ia selari dengan Mesyuarat Konsultasi Dua Hala Kedua antara kedua-dua Kementerian Luar di Warsaw pada Jun lalu.
Menurut kementerian itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatanya serta menghadiri jamuan makan tengah hari.
"Berikutan persekitaran geostrategik yang mencabar, kedua-dua Menteri juga bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi Malaysia-Poland dan menggalakkan keberdayatahanan rangkaian bekalan.
"Kedua-dua pihak juga membincangkan peningkatan kerjasama perdagangan dan pelaburan, serta mengukuhkan kerjasama sedia ada dalam bidang pertahanan, pendidikan tinggi, pertanian, dan pelancongan," kata Wisma Putra, hari ini.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata Mohamad dan Sikorski telah bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Asia Barat dan konflik Rusia-Ukraine.
Malaysia juga, tambah kementerian itu menzahirkan sokongan kepada permohonan Poland untuk menandatangani Triti Keamanan dan Kerjasama ASEAN (TAC).
"Selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah pada penggal pertama 2025, Poland telah menyatakan sokongan terhadap Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun hadapan.
"Malaysia juga optimis bahawa Poland akan memainkan peranan yang penting dalam memperkukuh Kerjasama Strategik ASEAN-Kesatuan Eropah," kata Wisma Putra lagi.
Sempena lawatan tersebut, Sikorski turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan dengan lebih lanjut hubungan dua hala antara Malaysia dan Poland yang telah lama terjalin dan mempamerkan potensi besar untuk dikembangkan.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan mengenai prospek kerjasama bidang baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau serta ekonomi digital.
Dalam masa sama, Sikorski telah mengulangi jemputan kepada Anwar untuk melawat Poland pada tahun depan, tambah Wisma Putra.
Pada 2023, Poland merupakan rakan dagangan kelapan terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Sepanjang Januari hingga Julai 2024, jumlah dagangan dua hala telah meningkat sebanyak 14.7 peratus kepada RM3.05 bilion berbanding RM2.66 bilion bagi tempoh yang sama pada 2023.