SEOUL: Kementerian Pertahanan sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor ketenteraan bagi menguatkan lagi keupayaan pertahanan Malaysia.

Menteri berkaitan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata teknologi AI dalam ketenteraan tidak dapat dielakkan, kerana teknologi itu kini digunakan secara global merentasi pelbagai sektor termasuk pertahanan.

Beliau berkata kementeriannya perlu memahami dan menilai pencapaian teknologi AI dalam bidang ketenteraan di negara lain sebelum melaksanakan penggunaannya di Malaysia.

"Sehubungan itu, sidang kemuncak mengenai teknologi AI dalam bidang ketenteraan yang dianjurkan di sini hari ini menyediakan peluang dan platform kepada Malaysia untuk melihat penggunaan teknologi AI dalam sektor pertahanan di negara lain yang telah mengaplikasikannya.

"Jika kementerian tidak mengambil langkah-langkah (ke arah penggunaan AI dalam ketenteraan) sektor pertahanan negara kita pasti akan ketinggalan jauh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Penggunaan AI yang Bertanggungjawab dalam Domain Ketenteraan (REAIM) 2024 di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata sidang kemuncak itu memberikan peluang kepada Malaysia untuk menyiapkan negara bagi menerima pakai teknologi AI dalam sektor ketenteraan.

"Kita mesti mengakui terdapat pertimbangan yang perlu diteliti memandangkan teknologi AI mempunyai kekuatan dan kekurangannya.

"Kehadiran kami di sidang kemuncak ini membolehkan kami melihat pelbagai aplikasi AI di negara lain, membolehkan kami membuat perbandingan dan mengumpul maklumat berhubung teknologi AI yang diguna pakai dalam sektor ketenteraan mereka," katanya.

Beliau berkata antara isu penting yang diketengahkan dalam sidang kemuncak itu ialah garis panduan penggunaan teknologi AI dalam ketenteraan.

"Isu penting yang disuarakan (ketika sidang kemuncak) ialah keperluan (bagi membangunkan) amalan terbaik atau prosedur operasi standard antarabangsa bagi penggunaan AI yang saya percaya belum diterbitkan dan masih dalam perbincangan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mula menggunakan teknologi AI dalam ketenteraan, beliau berkata AI ada digunakan namun tidak meluas.

Mohamed Khaled berkata penggunaan teknologi AI akan menambah baik ketepatan dan keberkesanan ATM dalam membuat keputusan, memandangkan ia melibatkan perkara berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara.

"Sehubungan itu, kementerian perlu membuat perancangan teliti bagi pelaksanaan teknologi AI pada peringkat ATM.

"Penggunaan teknologi AI dalam ketenteraan perlu ada dalam ketiga-tiga cabang ATM dan ia mesti dibantu oleh pengguna di akar umbi. Kita juga perlu mempertimbangkan kapasiti untuk membangunkan teknologi AI dalam negara," katanya.

REAIM 2024 dianjurkan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Korea Selatan bersama Belanda, Singapura dan United Kingdom.

Malaysia merupakan antara 90 negara yang menyertai sidang kemuncak itu.

-- BERNAMA