SHAH ALAM: Malaysia menduduki tangga pertama dalam senarai 20 Negara Paling Disayangi di Asia oleh sebuah portal laman web kewangan, Insider Monkey yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS).

Berdasarkan senarai tersebut, Malaysia berjaya mengalahkan negara jiran seperti Singapura yang menduduki tangga ketiga, Indonesia (12), Thailand (11).

Menurut Insider Monkey, dalam proses menyediakan senarai berkenaan, pihaknya merujuk lima artikel yang diterbitkan dalam portal itu sepanjang tahun lalu.

“Antaranya, artikel bertajuk 15 Negara Paling Dihormati di Asia, 15 Negara Paling Mesra di Asia, 20 negara yang paling banyak dilawati di Asia, 20 Negara Paling Pelbagai di Asia dan 20 Negara Paling Demokratik di Asia.

“75 peratus telah diberikan kepada tiga artikel pertama iaitu mengenai negara yang dihormati, paling mesra dan paling banyak dikunjungi di Asia manakala 25 peratus lagi diperuntukkan kepada kepelbagaian negara dan kelayakan demokrasi,” kata Insider Monkey.

Tambah portal berkenaan, Malaysia berada pada kedudukan tertinggi kerana jumlah ranking yang konsisten dengan markah keseluruhan 0.701, sementara Taiwan berada di tangga kedua dengan memperoleh 0.595 markah.

“Malaysia ialah negara yang paling disayangi di Asia kerana ia berada pada kedudukan tinggi pada semua metrik yang dipertimbangkan dalam penyelidikan kami. Ia adalah negara keenam paling demokratik di benua itu.

“Selain itu, ia adalah negara kelima paling banyak dikunjungi di Asia, mengalu-alukan lebih 10 juta pelancong pada tahun 2022.

“Orang ramai menuju ke negara Asia Tenggara bukan sahaja untuk mendapatkan pengalaman pantai yang menakjubkan dan kehidupan bandar yang mewah, tetapi juga meneroka budaya dan tradisi tempatan yang diperkaya oleh penduduk tempatan yang peramah dan mesra,” ujar portal itu. - Sinar Harian