Malaysia menolak ‘tawaran’ oleh Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu untuk berunding dengan Malaysia bagi menyelesaikan krisis di timur Sabah.

“Saya kira kita tidak patut menerima apa yang dikatakan sebagai ‘tawaran’ oleh Jamalul Kiram kepada Malaysia untuk mengadakan rundingan di luar negara,” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika dihubungi Astro Awani.

Menurut beliau, ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah jelas menyatakan bahawa pihak penceroboh itu harus harus meletakkan senjata tanpa syarat terlebih dahulu.

Kata Zahid, mereka juga perlu menyerahkan diri kepada pihak berkuasa Malaysia andai sebarang rundingan hendak dilakukan.

“Dan saya tidak fikir kita harus menerima kekejaman yang dilakukan oleh tentera-tentera upahan mereka yang bertindak sebagai pengganas dan kini baru mahu untuk berunding,” jelas beliau.

Beliau juga memberitahu bahawa masa untuk berunding telah tertutup rapat kerana Malaysia sudah pun memberikan masa yang secukupnya untuk berunding.

Kiram, dalam satu laporan Yahoo! Southeast Asia hari ini, mahu mengadakan ‘perbincangan’ dengan Malaysia.

Perbincangan itu bagaimanapun ada syaratnya, yang mana antara syarat tersebut ialah perbincangan itu tidak boleh diadakan Malaysia.

Pada 7 Mac, kerajaan Malaysia telah menolak rayuan Kiram supaya pasukan keselamatan negara yang menggerakkan Operasi Daulat mengadakan gencatan senjata.

Tegas Perdana Menteri, kumpulan bersenjata yang menceroboh kedaulatan negara ini sejak 12 Februari lalu mesti meletakkan senjata tanpa syarat.