Malaysia berminat untuk bekerjasama dengan Dubai bagi mengubah bandar raya itu menjadi hab ekonomi Islam Global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Potensinya amat besar," kata beliau pada sidang akhbar yang diadakan bersempena dengan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-10 hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, antara kerjasama yang boleh dijalin ialah dwi penyenaraian.

"Ruang lingkupnya akan menjadi sangat luas. Kita seharusnya melakukannya secara berperingkat. Ia satu kemungkinan yang menarik. Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Dubai," kata beliau.

Dubai telah berubah dengan drastik dalam tempoh tiga dekad lepas, menjadi pusat perniagaan utama dengan ekonomi yang dinamik dan pelbagai serta sebagai pusat pengeksport semula terbesar di Timur Tengah.

Ditanya sama ada Kuala Lumpur bersaing dengan Dubai kerana kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama, Najib berkata:" Ia lebih kepada perkongsian bukan persaingan."

"Jika anda lihat pada Kewangan Islam, Malaysia berkembang lebih dua kali ganda. Sekiranya anda mencatatkan pertumbuhan seumpama itu, ia adalah saiz Kewangan Islam yang tumbuh dengan pesat sekali. Ianya lebih daripada biasa. Banyak yang boleh kita kongsikan."

Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai penerbit sukuk terbesar di dunia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, menyumbang 57.3 peratus atau US$161 bilion daripada sukuk global dan 63 peratus atau US$41.7 bilion daripada terbitan sukuk.

Selepas sidang akhbar itu, Najib menyaksikan pertukaran 12 memorandum persefahaman (MoU) melibatkan syarikat Malaysia dan rakan kongsi tempatan mereka di sini.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Yayasan WIEF Tun Musa Hitam.

Antara 12 pertukaran MoU itu termasuklah Securities and Commodities Authority (SCA) dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) dari Malaysia.

Tujuan MoU itu adalah untuk menyediakan asas bagi kerjasama antara pihak-pihak dalam mengguna pakai latihan vokasional khas yang menaik taraf standard profesional bagi pekerja dalam bidang pasaran modal, industri perkhidmatan kewangan dan pelaburan di UAE.

Pertukaran MoU lain adalah antara United Malayan Land Bhd (UMLand) dengan Medini Iskandar Malaysia.

Pertukaran Mou itu adalah sempena selesainya pembelian fasa dua, tiga dan empat pajakan yang dibeli UMLand menerusi anak syarikatnya, Lextrend Sdn Bhd di Daerah Perniagaan (Zon B) Medini Iskandar Malaysia.

Nilai pembangunan kasar (GDV) yang dijangkakan daripada tanah itu ialah kira-kira RM790 juta.