KUALA LUMPUR: Malaysia telah meluluskan pelaburan dalam pusat data dan perkhidmatan awan berjumlah RM114.7 bilion bagi tempoh 2021-2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaburan dalam pusat data dan perkhidmatan awan sebanyak RM114.7 bilion bagi tempoh 2021-2023. Pelaburan ini dijangka mencipta 2,325 peluang pekerjaan baharu dalam bidang kepakaran khusus seperti saintis data dan jurutera rangkaian.
  • Malaysia berkomitmen untuk memacu negara sebagai destinasi Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) Lestari di Asia Tenggara. Ini merupakan usaha untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama dunia.
  • Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) telah bersetuju untuk meningkatkan insentif bagi pusat data AI. Kerangka ini termasuk penggunaan peralatan cekap tenaga dan air, serta kerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam penyediaan tenaga boleh baharu. MITI menerusi MIDA akan membentuk kerangka insentif khas untuk pusat data AI.


Menerusi hantaran di laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), beliau berkata, pelaburan tersebut menyediakan sebanyak 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran khusus seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian.

Justeru, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan MADANI komited untuk memacu Malaysia sebagai destinasi Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) Lestari di rantau Asia Tenggara sebagai salah satu usaha untuk memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama dunia.

Anwar yang terdahulu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 4 Tahun 2024, hari ini berkata MPN bersetuju supaya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menambah baik kerangka insentif semasa pusat data AI.

Insentif tersebut termasuk melalui mekanisme penggunaan peralatan cekap tenaga dan air, serta bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam penyediaan tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi kegunaan pusat data AI, kata beliau.

"Dalam mesyuarat itu saya tekankan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam usaha berterusan menggalakkan pelaburan dalam sektor pusat data berteraskan AI. Ini terutamanya bagi meningkatkan limpahan ekonomi melalui pendigitalan serta kompleksiti ekonomi pelbagai sektor di Malaysia.

"Kerangka tersebut juga akan merangkumi padanan pemain pusat data dengan syarikat tempatan bagi tujuan pembangunan vendor tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kerjasama antara industri dan ahli akademik bagi memupuk inovasi dalam pembangunan peralatan cekap tenaga dan perisian," kata Perdana Menteri.

Terdahulu hari ini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, juga menerusi hantaran di laman X berkata, MITI menerusi MIDA akan membentuk kerangka insentif khas untuk pusat data AI.

-- BERNAMA