Timbalan Menterinya Liew Chin Tong berkata jumlah yang besar itu mencerminkan impak daripada amalan perdagangan tidak adil terhadap industri-industri tempatan selain membuktikan keperluan kritikal bagi mekanisme yang kukuh dalam mempertahankan perdagangan.
"Pada 2024, MITI telah menerima sebanyak 12 permohonan bagi siasatan antilambakan daripada kalangan industri utama seperti besi dan keluli, bahan binaan, bahan kimia dan plastik berbanding hanya tiga permohonan pada 2023.
"Ini satu petunjuk jelas cabaran yang dihadapi oleh pengeluar domestik akibat lambakan import ini," katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran Sistem Pengurusan Penyiasatan Remedi Perdagangan (TRIMA) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Liew menyifatkan TRIMA sebagai penting berikutan peranan sistem berkenaan yang dapat memperkemas serta memantapkan proses mengemukakan permohonan antilambakan dan timbal balas serta menawarkan platform lebih cekap dan mudah diakses.
"TRIMA adalah inisiatif utama di bawah Pelan Strategik Pendigitalan MITI 2021-2025 dan menyokong komitmen Kerajaan MADANI terhadap pendigitalan sektor awam yang digariskan dalam pelan itu dan Rangka Tindakan MyDigital," katanya.
Beliau berkata antara ciri-ciri utama TRIMA termasuk pengurangan kos dengan proses penyerahan fizikal digantikan secara digital yang menghapuskan keperluan bagi mencetak.
Ia juga memberi kemudahan dari segi dapat dikemukakan dari mana-mana lokasi di dunia, sekali gus memudahkan penyertaan pihak berkepentingan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Aspek keselamatan turut menjadi antara ciri utama TRIMA yang memberi jaminan maklumat korporat yang sensitif serta akses terhad kepada pihak-pihak berwajib berkaitan.
"Walaupun dengan sistem sedia ada, Malaysia mempunyai salah satu garis masa terpantas dalam penyiasatan remedi perdagangan di peringkat global.
"TRIMA akan meningkatkan lagi kecekapan ini selain berpotensi memendekkan tempoh siasatan selama sembilan bulan," katanya.
Liew berkata TRIMA turut menyediakan akses dalam talian pada masa nyata bagi dokumen penyiasatan masa lepas serta semasa selain menjadi tetingkap tunggal untuk semua perkara berkaitan remedi perdagangan dan menyelaras proses perlindungan terhadap amalan perdagangan yang tidak adil.
Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata MITI merancang untuk menyepadukan analisis data dan kecerdasan buatan (AI) ke dalam TRIMA yang membolehkan kementerian mengenal pasti aliran serta mengesan ancaman perdagangan.
"Sehubungan itu, MITI dalam proses mengkaji semula Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 serta Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 yang kali terakhir diteliti pada 1999.
"Sejajar dengan perubahan model dan kaedah perniagaan, wujud keperluan untuk menyemak semula atau mengemas kini aktara untuk menjamin serta melindungi kepentingan industri tempatan," katanya.
Antara objektif semakan ini adalah untuk memberi kejelasan termasuk perubahan bahasa dan memastikan aliran dan logik dalam menyampaikan maksud undang-undang dan memasukkan peruntukan mengenai proses dan prosedur penyiasatan, termasuk semakan bagi memastikan selaras dengan perjanjian Anti-Lambakan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian WTO mengenai Subsidi dan Langkah-Langkah Timbal Balas.
"MITI berharap semakan semula ini dapat mengukuhkan lagi rangka kerja remedi perdagangan bagi membolehkan Malaysia menyiasat dan mengambil tindakan terhadap amalan perdagangan yang tidak adil," katanya.
-- BERNAMA