Malaysia memutuskan untuk mengemukakan pencalonan untuk dipilih semula menganggotai majlis pentadbir Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang akan mewakili Malaysia ke Perhimpunan ICAO ke-39 di Montreal, Kanada, berkata Malaysia mahu untuk terus memberi sumbangan kepada pembangunan ICAO.

Malaysia secara konsisten memberi sokongan kepada usaha ICAO dan menyokong sepenuhnya visinya masa kini untuk mengukuhkan sistem penerbangan awam global yang menjaminn keselamatan, sekuriti dan kelestarian yang optimum, katanya.

"Saya menaruh harapan terhadap penyertaan syarikat penerbangan, pengawal selia dan industri dalam memastikan Malaysia terus mengekalkan kerusi dalam Majlis ICAO dan bekerjasama untuk mempertingkatkan lagi industri penerbangan di Malaysia," katanya dalam ucapannya pada upacara penerimaan pesawat Airbus A320neo AirAsia di sini hari ini.

Malaysia kini sebahagian daripada 36 ahli majlis pentadbir ICAO bagi penggal 2014-2016.

Perhimpunan ICAO ke-39 akan berlangsung di Montreal, Kanada dari 27 Sept hingga 7 Okt tahun ini.

Ketika ditemui pemberita kemudian, kata Liow berkata antara agenda yang akan dibincangkan semasa perhimpunan ICAO akan datang ialah isu sekuriti dan keselamatan syarikat penerbangan dan sistem pengesanan pesawat.

Liow berkata Malaysia kali pertama dipilih menganggotai Majlis ICAO ialah semasa Sesi ke-36 perhimpunan pada 2007.

"Sepanjang tempoh menganggotai Majlis ICAO, Malaysia telah memainkan peranan aktif dalam kerja-kerja Majlis," katanya.

Mengenai upacara penerimaan pesawat Airbus 320neo, beliau berkata AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia Tenggara mengendalikan pesawat tersebut yang mempunyai elemen alam sekitar.

Airbus 320neo merupakan pesawat ke-172 kumpulan AirAsia yang diterima daripada sejumlah 575 pesawat yang dipesan. Pesawat Airbus tersebut menggunakan enjin CFM International Leap-1A. -- BERNAMA