KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan terkini Israel ke atas Rafah di Gaza pada 6 Mei 2024 yang menyebabkan 19 orang terbunuh.

Serangan tersebut berlaku beberapa jam selepas Hamas menerima cadangan gencatan senjata daripada rundingan damai yang dibuat oleh Mesir dan Qatar.

Wisma Putra dalam satu kenyataan reaksi pada Rabu menegaskan serangan ini jelas menunjukkan keengganan Israel untuk bekerjasama bagi tujuan keamanan.

"Rejim Israel bertekad untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin. Oleh demikian, Israel patut menerima kecaman keras daripada masyarakat antarabangsa.

"Serangan berterusan ke atas orang awam oleh Pasukan Pendudukan Israel (Israeli Occupation Forces - IOF), khususnya di Rafah, Gaza, adalah amat zalim.

"Terutamanya kepada kanak-kanak, wanita dan mereka yang sedang berlindung di kem-kem yang sangat padat dan kini menjadi benteng perlindungan terakhir dari pencerobohan Israel," tegasnya.

Justeru itu, Wisma Putra menggesa agar masyarakat antarabangsa menggandakan usaha untuk memastikan rejim Israel menghentikan tindakan jenayahnya yang disengajakan.

Seterusnya dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.