Ketua Penyelidik Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berperanan penting dalam memupuk kerjasama lebih erat antara blok itu dengan BRICS.
"Kedudukan itu menawarkan peluang unik untuk Malaysia dalam menggalakkan negara-negara ASEAN meneroka potensi manfaat yang seiringan dengan BRICS.
"Memandangkan ASEAN dan BRICS merangkumi pasaran sedang pesat membangun dengan trajektori pertumbuhan ekonomi yang besar, terdapat asas yang kukuh untuk meneroka minat yang saling melengkapi," katanya kepada Bernama.
Selain Malaysia, sebanyak 12 negara lain yang turut menjadi rakan dalam BRICS ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
Perluas FTA Sedia Ada
Mohd Sedek yang juga Felo Jawatankuasa Pemikir Persatuan Kerjasama Kewangan Asia berkata, antara perkara yang boleh diterajui Malaysia adalah memperjuangkan aspek perluasan perjanjian perdagangan bebas sedia ada membabitkan ASEAN dan kalangan negara individu BRICS.
"Sebagai contoh, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India dan ASEAN-China terbukti berjaya dari segi memudah cara aliran dagangan.
"Malaysia misalnya dapat melonjakkan pengembangan kesemua perjanjian ini agar turut merangkumi rangkaian produk dan perkhidmatan dalam jumlah yang lebih besar.
"Tidak ketinggalan, melakukan rundingan bagi terma yang memberi manfaat seperti mengurangkan sekatan perdagangan, memperkasa prosedur kastam dan meningkatkan akses pasaran bagi negara-negara ASEAN.
"Ini akan hanya mewujudkan persekitaran kondusif bagi meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan intra-serantau yang mantap, khususnya dalam sektor utama seperti pembangunan infrastruktur, tenaga boleh baharu dan teknologi digital," katanya.
Di samping itu, Mohd Sedek berkata, New Development Bank (NDB) yang ditubuhkan oleh BRICS, memberi peluang besar untuk negara-negara ASEAN mempelbagaikan sumber pembiayaan pembangunan.
"Menerusi usaha mempromosi NDB sebagai alternatif kepada institusi kewangan yang secara tradisinya diterajui oleh Barat dan Tabung Kewangan Antarangsa, Malaysia dapat membantu negara-negara ASEAN mendapatkan pendanaan untuk projek-projek penting dalam infrastruktur, teknologi serta pembangunan mampan.
"Pempelbagaian ini tidak hanya mengurangkan kebergantungan terhadap sistem kewangan Barat, tetapi turut menjadi penyelesaian kewangan yang lebih fleksibel serta khusus mengikut rantau," katanya.
Galak Guna Mata Wang Tempatan, Produk Halal
Mohd Sedek berkata, satu lagi bidang keutamaan yang boleh ditumpukan adalah penggunaan mata wang tempatan dalam transaksi rentasi sempadan antara ASEAN dan negara-negara anggota BRICS.
"Langkah menggalakkan perjanjian swap mata wang dan mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS akan membantu Malaysia mengurangkan kos transaksi serta meningkatkan kestabilan kewangan di rantau ini.
Inisiatif sedemikian dapat mengurangkan kesan terhadap kejutan luar seperti ketidaktentuan kadar pertukaran asing dan memberi mudah tunai lebih ketara ketika berdepan tekanan ekonomi," katanya.
Beliau berkata sebagai peneraju global dalam pengeluaran makanan halal, Malaysia juga dalam kedudukan baik mengembangkan eksportnya ke pasaran BRICS yang mempunyai bilangan Muslim yang ramai.
"Negara-negara seperti Indonesia dan Arab Saudi yang menjadi sebahagian atau mempunyai hubungan baik dengan BRICS, juga menjadi pasaran utama bagi produk-produk halal.
"Tindakan menjalin kerjasama dengan negara-negara anggota BRICS dari segi pensijilan dan piawaian halal akan membantu Malaysia memperkemaskan lagi eksport halal selain merebut peluang daripada peningkatan permintaan untuk produk berkualiti tinggi dan mendapat pensijilan halal di serata pasaran itu," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Sedek berkata, antara cabaran utama Malaysia adalah menguruskan aspek mengukuhkan hubungan dengan BRICS dan komitmennya terhadap ASEAN.
"Malaysia perlu memastikan penglibatannya dengan BRICS tidak membawa kepada perpecahan dalam ASEAN, khususnya jika ada segelintir negara anggota berkemungkinan melihat hubungan rapat dengan China dan Russia sebagai membimbangkan.
"Sehubungan itu, kemampuan Malaysia untuk mengimbangkan hubungan-hubungan ini adalah penting dalam mengekalkan kepaduan serantau dan memastikan kerjasama berterusan dalam isu-isu penting," katanya. - BERNAMA