Malaysia berhasrat untuk menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) dalam usahasama mengekalkan keamanan dan keselamatan dunia.

Tema kempen pencalonan Malaysia ialah Keamanan dan Keselamatan Melalui Kesederhanaan (Peace and Security Through Moderation), menurut satu kenyataan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah berkata, sekiranya Malaysia terpilih untuk menduduki kerusi tidak tetap Majlis tersebut, Negara ini ingin berusaha mencari penyelesaian yang aman dan berterusan bagi konflik-konflik antarabangsa, di samping mendukung prinsip kesederhanaan.

Katanya, lima keutamaan Malaysia sekiranya dipilih ialah:
Anifah berkata Malaysia mempunyai pengalaman sebelum ini dalam penglibatan dalam isu pengantaraan seperti peranan sebagai pemudahcara dalam usaha penyelesaian damai di Selatan Thailand dan juga di Selatan Filipina.

Pada 15 Jun 2001, Malaysia telah mengemukakan pencalonan untuk menjadi ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-2016.

Pengundian secara rahsia ahli-ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-2016 dijadual akan diadakan pada bulan Oktober 2014 semasa Sesi ke-69 Perhimpunan Agung PBB di New York, Amerika Syarikat.

Malaysia perlu memastikan ia meraih sekurang-kurangnya dua pertiga undian daripada negara-negara anggota PBB yang hadir dan mengundi semasa pemilihan untuk memenangi kerusi tidak tetap tersebut.

Malaysia pernah menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak tiga (3) kali iaitu pada tahun 1965 (berkongsi kerusi dengan Czechoslovakia), tahun 1989-1990 dan tahun 1999-2000.