NEW DELHI: Malaysia dan India dijangka mendatangani tujuh memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha mengukuhkan kerjasama dua hala semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan India akan menandatangani tujuh memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang seperti pelancongan, digital, kesihatan, sumber manusia, dan pentadbiran awam semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India.
  • Lawatan ini adalah yang pertama oleh Perdana Menteri Malaysia ke India sejak 2017 dan bertujuan untuk meningkatkan hubungan strategik komprehensif antara kedua-dua negara.
  • Beberapa menteri dan pegawai tinggi Malaysia akan menyertai lawatan ini, termasuk Menteri Sumber Manusia, Menteri Luar, Menteri Digital, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.


Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzafar Shah Mustafa berkata, MoU itu meliputi pelbagai bidang termasuk sektor pelancongan, digital, kesihatan, sumber manusia, dan pentadbiran awam.

"Antara bidang yang boleh dimanfaatkan Malaysia ialah teknologi maklumat (IT) dan digital selain kepakaran teknikal.

"Sebelum ini Institut Teknologi India ada menyatakan hasrat untuk membuka institut teknologi di Malaysia, yang kini sudah pun berada pada peringkat perbincangan antara kedua-dua negara.

"Perdana Menteri, akan menyaksikan majlis menandatangani MoU membabitkan kedua-dua negara," katanya dalam sidang media di sini, pada Ahad. 

Menurut Muzafar, ini merupakan lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia ke India sejak 2017, dan ia merupakan satu peristiwa yang sangat signifikan yang akan meningkatkan hubungan strategik komprehensif ke tahap baharu.

"Kita berharap bekerjasama dengan India melalui lawatan ini untuk meneruskan persahabatan yang terjamin sejak 1957 akan terus diperkuatkan," katanya lagi. 

Menyertai Perdana Menteri dalam lawatannya ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing; serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut serta, Menteri Digital, Gobind Singh; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selain itu, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) P Prabakaran akan turut serta dalam lawatan rasmi itu.

Pertemuan Perdana Menteri dengan Modi di sini adalah yang kedua selepas pertama kali pada Januari 2019. pemipin India itu pernah ke Malaysia ketika kepimpinan Datuk Seri Najib Razak pada 23 November 2015.