Malaysia dan Amerika Syarikat semakin hampir menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat (USVWP) selepas memeterai Perjanjian Pengukuhan Kerjasama bagi Mencegah dan Memerangi Jenayah Berat (PCSC) hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perjanjian PCSC adalah salah satu daripada dua dokumen penting yang menjadi pra-syarat kepada penyertaan Malaysia dalam USVWP.

"Hasil daripada perjanjian ini, antaranya kita akan memperolehi 1.2 juta cap jari melalui data biometrik yang akan digunakan sepenuhnya oleh PDRM dalam meneliti senarai suspek pengganas dikemukan mereka bagi menentukan pengganas atau disyaki pengganas dalam negara dan pengganas luar negara yang dijangka akan menggunakan Malaysia sebagai transit mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Duta Amerika Syarikat di Malaysia selepas menyaksikan Majlis menandatangani Perjanjian Pengukuhan Kerjasama bagi Mencegah dan Memerangi Jenayah di sini, hari ini.

Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim, manakala, Amerika Syarikat diwakili dutanya ke Malaysia, Joseph Yun.

Dengan permeteraian perjanjian ini, Malaysia bakal menjadi negara ke-39 layak menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat.

Malaysia dan Amerika Syarikat sebelum ini telah menandatangani dokumen Arahan Presiden Keselamatan Dalam Negeri, HSPD-6 pada 8 Oktober lalu.

Perjanjian HSPD-6 membolehkan pertukaran maklumat latar belakang suspek pengganas manakala, perjanjian PCSC menumpukan kepada kerjasama mengesan, mencegah dan menyiasat jenayah berat secara berkesan.