PUTRAJAYA: Malaysia diiktiraf sebagai contoh terbaik di dunia dalam mempromosikan budaya hidup damai dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama, kata Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Zambry yang kini dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi sehingga 23 Feb berkata perkara itu dikongsikan bersama beliau oleh Setiausaha Agung, Liga Muslim Sedunia (Rabitah al-Alam al-Islami) Sheikh Dr Mohammed Al-Issa dalam satu pertemuan yang diadakan pada hari pertama lawatannya ke negara itu pada Ahad. 

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai isu semasa yangmelibatkan umat Islam di seluruh pelusuk dunia terutama berkaitan kebangkitan sentimen anti-Islam di sesetengah tempat sejak kebelakangan ini, kata Zambry.

"Beliau (Dr Issa) juga menganggap Malaysia sebagai negara contoh dalam mewujudkan persefahaman antara peradaban.

"Kami senada bahawa isu Islamofobia harus diatasi secara bersama dengan menggunakan pendekatan secara dialog, komunikasi yang baik serta prinsip hidup kebersamaan (co-existence).

"Langkah-langkah yang lebih bijaksana dan berhikmah akan dilakukan melalui persidangan dan dialog secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan.

Zambry berkata pendekatan Islam yang moderat, saling menghormati dan ta'ayush (co-existence) akan diusahakan untuk berhadapan dengan gerakan Islamofobia ini.

Malaysia dan Rabitah akan bekerjasama membetulkan fahaman ekstremisme dan keganasan yang banyak merosakkan imej dan menghancurkan negara-negara Islam melalui usaha bersama mempromosikan Islam yang sederhana, toleran dan damai, katanya.



Sementara itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha.

Kedua-dua pihak berpandangan negara-negara anggota perlu berusaha untuk membantu pembinaan semula dan rekonstruksi negara-negara umat Islam yang pernah menghadapi peperangan seperti Afghanistan, Iraq, Syria dan Libya.

"Amerika dan Eropah serta lain-lain kuasa besar perlu berusaha bersama dengan OIC untukpembinaan semula negara terbabit melalui bantuan kemanusiaan tanpa menggunakan dasar sekatan (sanction).

"Namun dalam konteks Afghanistan, Malaysia bertegas dasar diskriminasi terhadap pendidikan wanita hendaklah segera dihapuskan," kata Zambry.

Zambry dan Taha turut membincangkan tentang kedudukan pelarian Rohingya dengan kedua-dua pihak menekankan peri pentingnya isu ini diselesaikan secara kerjasama antara ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara berkepentingan.

"Kami juga bersetuju mengenai isu Palestin untuk terus diperjuangkan. Secara kolektif,kita mengutuk dasar apartheid Israel yang terus-menerus menekan rakyat Palestin," katanya.

Dalam pertemuan itu, Taha mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 yang disifatkan akan membantu mengukuhkan peranan OIC dalam kalangan negara anggota.

Malaysia turut menyarankan agar pendekatan rekonstruksi sosioekonomi negara-negara miskin dan pascaperang melalui ekonomi dan sistem kewangan Islam dapat dilaksanakan termasuk menggunakan institusi zakat dan waqaf untuk membantu pembangunan semula negara-negara terbabit, katanya.




"Pengalaman Malaysia dalam sistem kewangan Islam dan mikro kredit dapat menyumbang kepada usaha untuk mobilisasi sosial selain mempertingkatkan keupayaan ekonomi mereka dalam tempoh pascaperang.

"Pihak OIC bersetuju untuk Malaysia menerajui usaha-usaha ini," kata Zambry.

OIC juga mencadangkan agar sebuah kertas dasar dikemukakan oleh Malaysia untuk diketengahkan dalam mesyuarat bersama Menteri-menteri Luar Negeri OIC pada masa akan datang.

Zambry menegaskan bahawa sokongan OIC adalah sangat penting bagi mencari penyelesaian yang holistik dan mampan untuk kemakmuran sejagat negara-negara Islam. 

-- BERNAMA