PUTRAJAYA: Malaysia dan China menyatakan persefahaman untuk mendalami secara saintifik cadangan Kerangka Keselamatan Nasional yang diunjurkan memberi kelebihan kepada kedua-dua negara selain memanfaatkan negara serantau dan global, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Ringkasan AI
  • Persefahaman Malaysia dan China: Malaysia dan China telah menyatakan persefahaman untuk mendalami secara saintifik cadangan Kerangka Keselamatan Nasional yang diunjurkan memberi kelebihan kepada kedua-dua negara selain memanfaatkan negara serantau dan global.
  • Perjanjian Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan: Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia dengan Republik Rakyat China, yang berkuat kuasa hingga 2034, telah dilanjutkan. Perjanjian ini menyenaraikan lebih 15 bidang kerjasama antara kedua-dua negara seperti pencegahan aktiviti keganasan dan ekstremisme, perjudian haram, jenayah siber, penyeludupan manusia dan bahan terlarang serta jenayah terhadap alam sekitar.
  • Komitmen Kerjasama ASEAN China GCC: Kedua-dua negara juga berkomitmen untuk menerokai dan menerajui kerjasama ASEAN China Gulf Cooperation Council (GCC) dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosial sesuai dengan tiga tonggak utama ASEAN. Selain itu, kedua-dua negara juga bersepakat untuk segera memuktamadkan beberapa dokumen perjanjian dan kerjasama baharu antara kedua-dua negara seperti dalam perihal keimigresenan serta ekstradisi.


Beliau berkata ia antara keputusan berimpak tinggi yang diperoleh menerusi Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia - Republik Rakyat China kali Kelima Mengenai Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan (JWG ke-5) semalam (6 Jun) di China, yang dipengerusikan olehnya bersama Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong.

Beliau berkata kedua-dua negara turut menyatakan komitmen untuk menerokai dan menerajui kerjasama ASEAN + China + Gulf Cooperation Council (GCC) dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosial sesuai dengan tiga tonggak utama ASEAN.

"Turut dimeterai pelanjutan Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia dengan Republik Rakyat China yang berkuat kuasa hingga 2034," katanya dalam kenyataan hari ini bersempena dengan JWG ke-5.


Perjanjian itu ialah dokumen induk yang menyenaraikan lebih 15 bidang kerjasama antara kedua-dua negara seperti pencegahan aktiviti keganasan dan ekstremisme, perjudian haram, jenayah siber, penyeludupan manusia dan bahan terlarang serta jenayah terhadap alam sekitar.

Selain itu, beliau berkata kedua-dua negara juga bersepakat untuk segera memuktamadkan beberapa dokumen perjanjian dan kerjasama baharu antara kedua-dua negara seperti dalam perihal keimigresenan serta ekstradisi.

"Mesyuarat JWG ke-5 turut memperaku kerjasama erat sedia ada antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara dan berikrar untuk meningkatkannya ke tahap yang lebih intensif selaras dengan status hubungan komprehensif dan strategik Malaysia - Republik Rakyat China.

"Hal ini termasuk perkongsian maklumat, pembangunan kapasiti dan pertukaran penempatan pegawai," katanya.

JWG ke-5 ialah mekanisme perbincangan di bawah payungan Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia Dengan Republik Rakyat China yang ditandatangani pada 2012.

Mesyuarat tahunan itu merupakan manifestasi hubungan akrab Malaysia dengan Republik Rakyat China dalam konteks keselamatan dan ketenteraman awam.

Saifuddin Nasution kini dalam rangka lawatan kerja ke China bermula 5 hingga 10 Jun ini.

-- BERNAMA