KUALA LUMPUR: Negara dijangka mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan berikutan ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama susulan fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga penghujung Mac ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata dalam tempoh itu, litupan awan dan taburan hujan kelazimannya adalah kurang di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.

"Cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei. Dalam tempoh ini, suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, suhu tertinggi yang dicatatkan oleh stesen meteorologi utama MetMalaysia adalah 36.9 darjah Celsius, iaitu di Chuping, Perlis pada 8 Feb lepas.

Menurutnya berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda dunia pada ketika ini, dijangkakan suhu maksimum harian di negara ini juga boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.

Sehubungan itu beliau menasihatkan semua pihak mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air dan mengehadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas.

"Orang ramai turut disarankan agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia," katanya.

-- BERNAMA