BRUSSELS: Kerajaan akan berjuang menentang sebarang amalan perdagangan bersifat diskriminasi terhadap sektor komoditi tani, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menekankan, sebagai negara pengeluar dan perdagangan, Malaysia memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan dan kesan peraturan demikian bukan hanya kepada minyak sawit malah juga komoditi utama lain seperti kayu, koko dan getah.

"Beberapa aspek proses penilaian risiko peraturan itu adalah tidak produktif bagi komitmen untuk membendung pembasmian hutan global dan menimbulkan risiko tidak menggalakkan bagi negara pengeluar," katanya pada majlis makan tengah hari bersama diaspora Malaysia di sini, pada Isnin.

Beliau berada di sini bagi misi perdagangan bersama Malaysia-Indonesia di Kesatuan Eropah (EU) untuk mempertahankan industri minyak sawit daripada Peraturan Produk Bebas Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Pelaksanaan peraturan itu, yang diumumkan oleh EU pada 6 Dis, 2022 adalah berdasarkan alasan yang tidak kukuh dan mempunyai asas saintifik yang lemah, tegasnya.

EU sedang membangunkan pelaporan usaha wajar untuk memastikan syarikat mematuhi EUDR.

"Ia memberi beban tambahan kepada pengeksport minyak sawit Malaysia ke pasaran EU, khususnya berkaitan dengan keperluan kebolehkesanan tambahan dan data yang mesti diberikan kepada pelanggan akhir yang berada di EU," katanya.

Malaysia menghargai EU sebagai antara rakan dagang dan pelaburan penting Malaysia.

Bagi Malaysia, EU menyumbang 9.4 peratus kepada jumlah eksport Malaysia atau 1.47 juta tan minyak sawit.

Walau bagaimanapun, Malaysia melihat EUDR sebagai tindakan sengaja Eropah untuk menyekat akses pasaran dan melindungi pasaran minyak bijian domestik mereka yang tidak cekap dan tidak dapat bersaing dengan kos minyak sawit.

Inisiatif melibatkan sebelah pihak sedemikian menjejaskan perdagangan bebas dan adil di samping boleh memberi kesan buruk kepada rantaian bekalan global serta menyebabkan harga makanan menjadi lebih tinggi selain mengurangkan pengeluaran ketika infliasi global yang tinggi dalam sejarah.



Agenda politik dan kekurangan pengetahuan

Fadillah berkata perdebatan dalam EU berhubung isu kemampanan minyak sawit dan bahan api bio adalah gambaran kekurangan pengetahuan dan pemahaman mendalam mengenai perkara itu selain semakin menambah kebimbangan bahawa ia didorong oleh agenda politik secara keterlaluan.

"Saya ingin mengulangi bahawa walau apapun yang mungkin, Malaysia akan meneruskan perjuangan untuk menonjolkan imej positif produk komoditi tani negara dan membuktikan perkara yang kita lakukan secara terbaik dalam mematuhi pengeluaran dan penggunaan mampan," katanya.

Bagi Malaysia, Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) kekal sebagai keutamaan yang amat penting bagi Malaysia.

"Kita telah memulakan usaha kemampanan termasuk skim pensijilan nasional seperti skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) dan amalan Pengurusan Hutan Mampan (SFM) dengan tujuan memudahkan akses ke dalam Pasaran Tunggal EU," katanya.

Fadillah berkata piawaian MSPO sudah pun menjamin komitmen Malaysia terhadap piawaian kemampanan yang komprehensif.

Piawaian ini membuktikan komitmen dan usaha bersungguh-sungguh Malaysia untuk menyediakan minyak sawit yang mampan dan bebas pembasmian hutan kepada pelanggan Eropah dan global.

Beliau berkata justeru, tidak perlu menambah lagi kos dan beban kepada industri khususnya kepada pekebun kecil yang akan memberi kesan negatif kepada kebajikan dan mata pencarian mereka.



Sektor komoditi tani penting dalam pembasmian kemiskinan

Sektor komoditi tani bukan sahaja menjadi alat untuk pembasmian kemiskinan malah juga menjadi penyumbang penting dalam memulihkan ekonomi Malaysia kepada landasan pascapandemik COVID-19.

"Saya amat percaya Kementerian (Perladangan dan Komoditi) ini penting dalam meneraju perdagangan komoditi tani dan memastikan sektor ini ditadbir dengan baik terutama dalam melindungi mata pencarian lebih 700,000 pekebun kecil menerusi inisiatif dan usaha kita," katanya.

Pada masa sama, ketika tempoh mencabar ini, sektor ini menyediakan pekerjaan dan peluang perniagaan di sepanjang rantaian bekalan, katanya.

Fadillah berkata justeru, kerajaan kekal nekad dalam usaha meredakan cabaran ini dan berjuang menentang dakwaan tidak berasas terbabit.

"Berpegang kepada mandat ini, kementerian saya memutuskan untuk mengetengahkan kedudukan kukuh, komitmen dan inisiatif Malaysia ke arah sektor komoditi tani yang mampan kepada dunia," katanya.

-- BERNAMA