Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar sebuah makmal memproses dan mengedar dadah jenis syabu dan pil ekstasi bernilai RM14.3 juta.

Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman yang melakukan empat serbuan berasingan di sekitar Mantin, Negeri Sembilan serta sekitar Lembah Klang pada Ahad berjaya menahan 11 suspek terdiri daripada sembilan lelaki serta dua wanita berusia antara 32 hingga 65 tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dalam serbuan itu polis juga berjaya merampas senjata api antaranya tiga pucuk pistol, enam kelopak peluru, sebutir bom tangan selaras senapang angin dan 75 butir peluru.

Makmal dadah
Senjata api turut dirampas dalam serbuan pihak polis ke makmal memproses dadah. - Foto Astro AWANI/Abdul Hakim Rahman


Tambah Khalid, pihaknya juga menyita harta milik semua suspek bernilai RM1.5 juta antaranya lapan buah kereta mewah serta jam tangan jenis Rolex dan Seiko.

"Pihak PDRM telah menghidu kegiatan yang dijalankan sindiket ini sejak sebulan lalu dan dadah yang dihasilkan adalah untuk pasaran tempatan dan juga Indonesia,

"Sindiket berkenaan menjadikan sebuah rumah banglo di Mantin, Negeri Sembilan sebagai lokasi memproses dadah," katanya dalam sidang media di Bukit Aman pada Isnin.

Semua suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Makmal proses dadah
Antara peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah di makmal yang diserbu. - Foto Astro AWANI/Abdul Hakim Rahman