PUTRAJAYA: Maklumat peribadi pendaftar di aplikasi MySejahtera tidak digodam oleh ImuniSel, demikian tegas Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata, pendaftaran vaksin AstraZeneca berlaku tanpa pengetahuan mereka yang terlibat.

“Bukan digodam,  apa yang berlaku adalah mereka tidak diberitahu oleh ImuniSel untuk mendapat kebenaran individu-individu tersebut yang sudah ada janji temu dan tiba-tiba janji temu diganti dengan AstraZeneca.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor,  Datuk Seri Amirudin Shari dan kita akan selesaikan isu ini. Kita akan betulkan iaitu pendaftaran tanpa pengetahuan mereka,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Khairy dan Amirudin dalam kenyataan bersama berkata tidak berlaku manipulasi sistem oleh pihak SELangkah dalam isu pendaftaran vaksin AstraZeneca di bawah kempen bantuan (outreach) ImuniSel.

Kenyataan itu menyebut setiap individu yang membuat pendaftaran vaksin menerusi ImuniSel telah memberikan kebenaran untuk didaftarkan bagi vaksin PICK.

Bagaimanapun, pendaftaran vaksin AstraZeneca dibuat oleh ImuniSel tanpa pengetahuan mereka yang terlibat.

Kerajaan sebelum ini melaksanakan pemberian suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang.