KUALA LUMPUR: Maklumat seperti krisis kesihatan dan bencana alam di peringkat nasional akan diselaras mengikut keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat serta bersepadu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Kenyataan DOSM semalam memaklumkan jabatan itu sentiasa bersungguh-sungguh dalam menguruskan data yang merupakan aset negara dengan kaedah pengumpulan dari peringkat terkecil membabitkan penyatuan sistem di peringkat lapangan secara teratur bagi membentuk maklumat yang boleh memberi panduan ke arah pencapaian matlamat dasar dan wawasan negara.

"DOSM, sebagai sebuah organisasi statistik cemerlang yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, sentiasa berpegang kepada prinsip asas statistik rasmi yang disediakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam memastikan statistik rasmi adalah boleh dipercayai dan berintegriti," menurut kenyataan itu.

DOSM juga menerima keputusan mesyuarat pertama Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Dengan kepercayaan yang diberikan oleh Ahli Majlis Tertinggi MSDN, DOSM akan memastikan pemerkasaan pelaksanaan Pengukuhan Sistem Statistik Negara ini memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya," katanya.

Antara keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu ialah DOSM diperkasa sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik, Ketua Pegawai Data (CDO) akan dilantik melalui penugasan semula pegawai sedia ada di setiap kementerian/jabatan/agensi persekutuan serta negeri mulai 2022 secara berperingkat dan pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara.

-- BERNAMA