Identiti individu yang disyaki gagal mematuhi arahan kuarantin di rumah, seperti yang tular di media sosial akan disahkan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata turut akan disahkan ialah kafe yang dikatakan menjadi tempat individu berkenaan makan.

Ujarnya, walaupun beliau menerima beberapa maklumat yang mengatakan individu dan kedai makan berkenaan telah dikenalpasti, beliau masih menunggu pengesahan daripada pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kesihatan dan polis.

“Jabatan Kesihatan Negeri sedang melaksanakan pemantauan secara serius berkaitan kes tersebut.

“Setakat ini maklumat yang kita terima, maklumat lengkap dan terperinci sudahpun dalam proses.

“Kita akan mencari dan kita pastikan kebenaran penceritaan tersebut. Kita akan panggil semua pihak, termasuk melihat tindakan yang sewajarnya untuk dilaksanakan kepada semua yang terlibat,” katanya ketika ditemui media di sini pada Selasa.


Pada Isnin, tular di media sosial seorang wanita yang dipercayai memakai gelang kuarantin rumah COVID-19 sedang makan dan minum di sebuah kafe di Bandar Meru Raya, Ipoh.

Tindakan wanita itu dikatakan telah menimbulkan kebimbangan orang ramai, khususnya mereka yang tinggal dan berurusan di kawasan berkenaan.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah mengambil tindakan serta merta untuk menyiasat mengenai individu berkenaan.

Menurutnya, jika didapati berasas, tindakan sewajarnya termasuk tindakan perundangan akan diambil.