Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Majlis Presiden PH akan menentukan calon pakatan itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan.

Beliau berkata isu parti mana yang akan meletakkan calon tidak perlu wujud kerana yang penting adalah calon itu nanti akan mewakili gabungan empat parti komponen PH.

"Yang akan bertanding ialah calon Pakatan Harapan bukan calon parti Pribumi (Bersatu), Keadilan (PKR). Jadi kita akan selesaikan siapa akan jadi calon," kata perdana menteri kepada media Malaysia selepas berakhirnya Sidang Kemuncak APEC Ke-26 di sini hari ini.

Beliau mengulas lanjut mengenai beberapa nama daripada kalangan parti gabungan PH yang disebut-sebut menjelang pilihan raya kecil itu tidak lama lagi.

Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya di Seremban memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu adalah tidak sah dan terbatal, dan PRK DUN itu perlu diadakan serta-merta.

Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April selepas calon PKR Dr S. Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana beliau tidak memiliki pas dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas mengenai PRK tersebut, Dr Mahathir berkata: "Yang itu dari mula pun kita fikir tak betul. Cara-cara yang dibuat kononnya orang ini lambat, tak pakai pas, ini semua, itu kerajaan lama. Kerajaan dulu cari jalan nak tipu. Sekarang kita tengok dia tipu."

Berhubung dengan rombakan Kabinet, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan ia tidak perlu kerana kabinet sedia ada masih baharu kecuali ada desakan untuk berbuat demikian.

"(Rombak) kalau ada desakan. Tapi bagi saya tak perlu kita rombak kerana kabinet ini baru sahaja dan kita belum uji kemampuan mereka," katanya.

-- BERNAMA