KUALA LUMPUR: Majikan dan pekerja diingatkan untuk mengambil serius dengan pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 2022 yang berkuat kuasa hari ini, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.


Ringkasan AI
  • Pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 2022 yang berkuat kuasa hari ini bertujuan memperkukuh tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, mencegah kemalangan, dan melahirkan kualiti kerja yang produktif.
  • Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata majikan dan pekerja perlu sama-sama memainkan peranan untuk memastikan keadaan keselamatan berada pada tahap terbaik di tempat kerja.
  • Setiap syarikat yang mempunyai lima atau lebih pekerja diwajibkan melantik seorang penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan terlatih untuk mengendalikan segala urusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.


Beliau berkata AKKP (Pindaan) 2022 itu merupakan perkara yang perlu bagi memperkukuh tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, seterusnya membantu mencegah kemalangan, melahirkan kualiti kerja yang produktif dan membawa hasil positif kepada syarikat.

"Majikan dan pekerja harus sama-sama memainkan peranan bagi memastikan keadaan keselamatan berada pada tahap terbaik di tempat kerja. Pekerja perlu memastikan mereka sentiasa mengambil langkah keselamatan dan tidak cuai dalam melaksanakan pekerjaan dengan selamat.

"Majikan pula perlu memastikan mereka menyediakan suasana pekerjaan yang selamat dalam setiap aspek. Majikan tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap pindaan AKKP ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lee berkata antara yang boleh dilakukan majikan bagi meningkatkan keselamatan dan kesihatan ialah dengan melabur dalam aspek keselamatan seperti peralatan dan kemudahan yang digunakan atau menyediakan peluang pendidikan dan latihan berkaitan kepada pekerja.

Lee berkata antara perkara penting pindaan itu ialah setiap syarikat yang mempunyai lima atau lebih pekerja diwajibkan melantik seorang penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan terlatih untuk mengendalikan segala urusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

"Ini adalah langkah yang paling wajar bagi memastikan keselamatan pekerjaan di tempat kerja dan boleh membantu mewujudkan budaya kerja selamat di tempat kerja," katanya.

Pada 28 April lepas, kerajaan memaklumkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang diluluskan Parlimen pada 16 Mac, akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2024, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dilaporkan berkata penguatkuasaan pindaan akta itu mewajibkan majikan menganalisis risiko di tempat kerja dan melantik penyelaras keselamatan kesihatan.

-- BERNAMA