Mahkamah Sesyen Butterworth menetapkan 12, 16 dan 18 Mac ini bagi mendengar perbicaraan kes curi cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) milik sebuah kilang di kawasan Perusahaan Prai, Bukit Tengah.

Hakim Nabishah Ibrahim menetapkan tarikh tersebut selepas mendapat persetujuan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

S.Thurai, A.Jaykumar, S.Somasundram, M.Ravindran dan G.Hari Kirusnan didakwa mencuri 268 kotak cip mikro CPU bernilai RM22 juta milik syarikat Moduslink Sdn Bhd pada 7 Oktober 2012.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Lim Saw Sim.

Peguam Jagjit Singh mewakili Jaykumar, Ravindran diwakili peguam bela Rafael Abdullah manakala Thurai, Somasundram serta Hari Kirusnan tidak diwakili peguam.