PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan bekas Ahli Parlimen Petaling Maria Chin Abdullah memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis tunjuk sebab dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Notis itu dikeluarkan selepas Maria, 68, mengkritik keputusan mahkamah berkenaan yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia Hanafi, bekas isteri ahli perniagaan SM Faisal SM Nasimuddin.

Pada prosiding hari ini, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Mariana Yahya, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Maria untuk menggantung perintah itu sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, peguam Rosli Dahlan memaklumkan bahawa Maria telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dengan kesalahan menghina mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara tujuh hari.

Beliau berkata tanpa penggantungan perintah itu, anak guamnya boleh dihantar ke penjara serta-merta.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel itu melalui aplikasi Zoom, Mariana berkata hakim Mahkamah Tinggi sivil telah terkhilaf kerana memberi kebenaran kepada Maria untuk memulakan semakan kehakiman.

"Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang mengeluarkan notis tunjuk sebab dan memberi kebenaran kepada Faisal untuk memulakan prosiding komital terhadap Maria telah dibuat dalam bidang kuasanya," kata beliau.

Mariana berkata keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tidak boleh dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi Sivil dan perintah itu kekal sehinggalah ia diketepikan.

Beliau juga berkata permohonan semakan kehakiman Maria adalah pramatang kerana keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bukanlah muktamad dan notis tunjuk sebab yang dikeluarkan adalah prosedur awal dalam prosiding menghina mahkamah.

Justeru itu, Mariana berkata tindakan memfailkan semakan kehakiman adalah satu percubaan untuk menghalang Mahkamah Tinggi Syariah daripada melaksanakan kewajipan kehakimannya di bawah undang-undang.

Faisal telah memohon kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Maria di Mahkamah Tinggi Syariah dan permohonannya dibenarkan pada 2019.

Satu notis tunjuk sebab kemudian dikeluarkan kepada Maria yang memintanya memberi penjelasan mengapa beliau tidak boleh dijatuhi hukuman bagi penghinaan kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.

Maria kemudian memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil pada 2021 dan menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan sebagai responden.

Pada 22 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi Sivil telah memberi kebenaran kepada beliau untuk memulakan semakan kehakiman manakala AGC pula mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan yang membawa kepada keputusan hari ini.

Mahkamah Tinggi Syariah telah meneruskan prosiding menghina mahkamah terhadap Maria dan pada 25 April 2022, beliau telah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili AGC manakala peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Danial Farhan Zainul Rijal hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak MAIWP.

-- BERNAMA