Pesuruhjaya Suhakam, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, beliau tidak menolak penubuhan mahkamah khas sebagai usaha murni dalam menuntut aspek hak asasi manusia.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan juga wajar mempertimbangkan pindaan akta termasuk peruntukan mengenai isu jaminan bagi mengurangkan kesesakan di penjara.
“Pinda peruntukan mengenai isu jaminan (yang kini) semua tahanan (SOSMA) tidak boleh dijamin. Selaraskan dengan Kanun Acara Jenayah. Perlu justifikasi kenapa perlu ditahan bawah SOSMA.
“Tempoh tahanan 28 hari itu boleh dipendekkan lagi atau dihapuskan kerana individu boleh ditahan (28 hari) sebelum dibawa ke mahkamah dan ini satu penafian terhadap hak asasi manusia,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan sedang mempertimbangkan keperluan untuk menubuhkan mahkamah khas berkenaan.
Langkah itu katanya, akan mengelakkan mereka yang ditahan SOSMA daripada menunggu terlalu lama serta menangani isu berkaitan jaminan.
Dalam pada itu Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, secara umum Bersih menyambut baik inisiatif kerajaan untuk penubuhan mahkamah khas berkenaan namun menuntut agar sesi perbincangan bersama pemegang taruh dapat dimulakan sebelum pembentangan di Dewan Rakyat.
“Penubuhan mahkamah khas ini adalah satu langkah yang baik bagi memastikan tarikh perbicaraan bagi OKT (orang kena tahan) di bawah SOSMA ini diawalkan tanpa menunggu tempoh masa yang amat lama dalam masa sama terpaksa menjalani tempoh tahanan.
“Namun sudah pasti ia memerlukan perbincangan lanjut dengan semua pemegang taruh bagi memastikan ia mencapai objektif menjaga keselamatan dalam masa sama keadilan kepada OKT,” katanya.
Beliau berkata, tempoh tahanan yang lama sebelum dibicarakan bercanggah dengan prinsip keadilan dan hak yang dihormati termasuk membuka kepada isu salah guna kuasa pihak berkuasa ketika OKT berada dalam tahanan.
“Namun yang lebih penting, ia memberi kesan kepada OKT dan ahli keluarga OKT khususnya isteri OKT yang terpaksa menyara keluarga ketika OKT dalam tahanan walaupun OKT belum didapati bersalah kerana perbicaraan belum bermula,” katanya. - Sinar Harian
