Arahan pemberhentian operasi Maahad Imam As-Sayuti itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam surat bertarikh 27 September 2024.
Surat yang ditandatangani Timbalan Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama Islam Perak, Faiz Murammad Rafaai itu turut ditampal di papan tanda maahad yang terdapat di tepi jalan masuk.
Berdasarkan surat itu, sekolah agama tersebut didapati belum berdaftar seperti terkandung di dalam Enakmen Kawalan-kawalan Sekolah Agama Islam 1996, Bahagian III Pendaftaran Sekolah-sekolah Subseksyen 5(1).
“Oleh yang demikian tuan dikehendaki menghentikan operasi sekolah serta-merta,” menurut surat itu.
BACA: Anak sulung 'Abuya' tunjuk lokasi kurungan di Batu Hampar esok - Razarudin
Sementara itu, beberapa penduduk kampung yang ditemui berkata, sekolah agama berkenaan telah beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu dan mempunyai kira-kira 70 orang pelajar.
Menurut mereka perkampungan itu telah disita oleh pihak polis sekitar pertengahan September dan mula dikosongkan beransur-ansur sehingga semua ternakan seperti kuda, lembu dan kambing dibawa keluar.
Dalam pada itu, ramai wartawan menunggu seawal jam 9 pagi di luar kawasan perkampungan untuk menunggu kehadiran anak sulung bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyah, yang dilaporkan akan menunjukkan lokasi di mana dia didakwa dikurung selama kira-kira sebulan.
Kira-kira jam 12.07 tengah hari, tiga anggota polis, dua lelaki seorang perempuan, tiba di kawasan perkampungan GISB itu dengan menaiki kereta Proton Persona.
Bagaimanapun, tidak kelihatan kelibat Ummu Athiyah sehingga ketiga-tiga anggota polis berkenaan beredar kira-kira 12 minit kemudian.
Pada Sabtu, Ketua Polis Negara, Tan Razarudin Husain berkata, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyah, 41 akan ke sebuah perkampungan GISB, yang terletak di Batu Hampar, Perak pada Ahad.
Jelas beliau, kehadiran mangsa ke lokasi kejadian adalah bagi membantu siasatan.
“Pengadu telah dihubungi untuk hadir ke lokasi kejadian bagi tunjukkan rumah atau bangunan yang dikurung," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.